Khamis, 5 Mac 2009

BAB 2: Satay Anjing ... Strategi Air-dalam-Tasik


‘Komander mereka, Lord Nang merupakan seorang yang tamak,’ jawab Sun, ‘dan kedua-dua buah negeri Tang dan Tsai memang berdendam dengannya. Jika tuanku mahu menyerang secara besar-besaran, tawanlah kedua-dua buah negeri tersebut.’

Strategi ini, digelar Api-dalam-Tasik, mendapat namanya daripada trigram seperti yang terkandung di dalam Buku Perubahan; ia pertentangan yang bercampur aduk seperti api dan air, membuat kawan sambil menyerang musuh. Raja Ho-Lu mengambil nasihat ini dan memberi kuasa kepada Sun Tzu untuk menjalin pakatan sulit dengan raja-raja Tang dan Tsai.

Kemudian, selepas bala tentera utama Wu sedang bersedia untuk menyeberangi sungai dan menyerang Chu, adik lelaki Raja Ho-Lu yang agresif dan ganas, bertindak mengikut caranya, mengetuai sepasukan tentera seramai 5,000 orang menyerang Chu dan menewaskan sebahagian kecil tentera musuh.

Perkara ini merosakkan elemen kejutan, dengan itu tentera utama Sun Tzu terpaksa berlawan dengan lima peperangan hebat sebelum sampai ke ibu negeri musuh.

Semasa mereka tiba di ibu kota tersebut, Raja Chu berjaya melepaskan diri. Mereka mengejar baginda sehingga ke negeri Sui, di mana Sun Tzu menyampaikan propaganda beracun: ‘Raja Chu yang melarikan diri itu telah membunuh semua keturunan Dinasti Chou semasa pemerintahannya.’

Perkara ini merupakan tuduhan yang dahsyat. Raja-raja Chou telah tersingkir dalam masa susah dan buat masa ini mereka hanyalah sebagai ketua agama sahaja, penjaga tradisi purba, dianggap sebagai kuasa moral. Untuk menghukum mereka dan saudara mereka adalah tidak berpatutan.

Penduduk Sui sangat terkejut, dan berbincang samada menghukum bunuh Raja Chu yang menjadi pelarian atau menyerahkannya kepada pihak lawan. Tetapi setelah meminta nasihat tukang tilik, mereka berubah fikiran dan tidak mahu menyerahkan baginda.

Sementara itu, di ibu negeri Chu yang ditawan, teman karib Sun, Wu Tzu-Hsu sangat geram untuk membalas dendam ke atas kematian bapa dan adiknya. Tiada upaya untuk menangkap Raja Chu yang menjadi pelarian, beliau membongkar kuburan mayat raja terdahulu – raja yang membunuh bapa dan adiknya – dan menyebat mayat itu sebanyak tiga ratus kali, menghancurkan mayat tersebut.

Sememangnya perlakuan ini memuaskan hati, tetapi ianya menyalahi kesusilaan dan merbahaya yang boleh menimbulkan kemarahan alam roh.

Apabila khabar tersebar berkenaan dengan perlakuan buruk tersebut, Duke negeri Chin, sebuah negeri seteru telah mengisytiharkan dengan marah, ‘Walaupun Raja negeri Chu telah melakukan kesalahan, tindakan menteri tersebut tidaklah boleh diterima, dengan itu kita mesti pergi mempertahankan negeri Chu.’

Duke itu telah menghantar 500 buah kereta kuda perang dan tentera untuk membantu, dan selepas enam bulan berperang dengan sengit, mereka berjaya mengalahkan tentera Wu dan ketua turus tenteranya, Sun Tzu.

Raja Ho-Lu berada agak lama juga di ibu negeri yang ditawannya itu, merayakan kemenangan. Semasa ketiadaan baginda, adik lelakinya yang gopoh mengambil peluang merampas takhta negeri Wu, berniat mahu mengisytiharkan diri sebagai raja. Raja Ho-Lu terpaksa mengundurkan bala tenteranya dari negeri Chu untuk membetulkan situasi di negerinya sendiri. Adik lelaki baginda pun melarikan diri sebagai orang buangan.

Semua permusuhan ini telah membangkitkan semangat musuh-musuh negeri Wu. Sementara setiap orang berasa bingung, Raja Chu yang menjadi orang buruan berjaya mendapatkan takhta baginda seolah-olah baginda tidak pernah pergi ke mana-mana.

Dua tahun kemudian, Sun Tzu membuat satu strategi baru dan Wu Tzu-Hsu pula melancarkan serangan baru yang menyebabkan Raja Chu melarikan diri semula. Ahli sejarah Ssu-Ma Ch’ien menyatakan: ‘Terima kasih kepada muslihat Sun Tzu dan Wu Tzu-Hsu, negeri Wu berjaya mengalahkan Chu, negeri yang kuat di sebelah barat, dan menakutkan negeri-negeri Ch’i dan Chin di sebelah utara.’

Tetapi pergaduhan masih lagi belum berakhir.

Pada satu masa apabila raja-raja bersikap tidak boleh diramalkan, terutamanya bagi raja-raja negeri Yueh. Negeri mereka berada di dalam negara ‘barbarian’ dekat dengan kuala Sungai Yangtze yang pada hari ini termasuklah wilayah-wilayah Chekiang, Fukien dan Kwangtung. Untuk beberapa generasi, mereka mempunyai cap tattoo yang melampau, rambut yang dipotong pendek tiada fesyen, dan suka hidup kasar di dalam ‘semak dan lalang’, mendapat nama jolokan sebagai orang-orang liar.

Penggantian Raja Kou-Chien memberikan peluang untuk menawan negeri Yueh yang tidak bersiap sedia. Sun Tzu diarahkan untuk merancang kempen peperangan. Didorong oleh kemenangan terbaru, Raja Ho-Lu mahu memimpin sendiri bala tentera baginda. Seperti yang diamati oleh Sun Tzu, ‘penduduk-penduduk negeri Wu dan Yueh membenci di antara satu sama lain,’ yang membuatkan keputusannya tidak dapat ditentukan.

Ketua strategik negeri Yueh, Fan Li yang licik, merupakan musuh Sun Tzu yang paling hebat. Benar seperti sifatnya, beliau mempunyai helah yang amat menggerunkan.

Beliau masuk ke dalam penjara bawah tanah negeri Yueh untuk mencari banduan yang mendapat hukuman berat dan menawarkan mereka dengan ganjaran lumayan untuk seisi keluarga. Oleh kerana para banduan tersebut pasti akan menjalani hukum bunuh, mereka pun bersetuju menerima tawaran yang dinyatakan itu.

Apabila tentera negeri Wu sudah bersedia untuk menyerang, para banduan tersebut mara ke depan dan – dengan laungan yang paling kuat – memotong kepala di antara satu sama lain. Dengan itu bala tentera negeri Wu menjadi tergamam dan Fan Li pun berjaya menjalankan serangan mengejut dan mengalahkan mereka.

Di dalam keadaan kelam kabut itu, satu panah beracun terkena tangan Raja Ho-lu yang membuatkan baginda luka parah. Sementara dalam keadaan nazak, baginda sempat bertanya kepada puteranya, Fu-ch’ai, ‘Adakah kamu akan lupa siapakah yang membunuh bapa kamu?’

'Saya tidak akan lupa,’ sumpah putera raja.

Isnin, 16 Februari 2009

BAB 2: Satay Anjing ... Sun Tzu DiLantik Jeneral

Pada kurun kelima S.M., bala tentera di negeri-negeri China yang bersaing telah meningkat jumlahnya menjadi beratus ribu orang, termasuklah pemandu kereta kuda dan pengangkut. Mereka pergi berperang ke negeri-negeri yang jauh selama berminggu atau berbulan-bulan.

Kempen-kempen peperangan tersebut perlu dirancang dengan penuh teliti. Peperangan sudah menjadi begitu kompleks dan kemenangan mampu diraih dengan mengatur strategi bersepadu, termasuk pengintipan, maklumat inteligen, subversif, operasi, logistik dan prosedur pengurusan sehingga ke banghal yang terakhir.

Sun Tzu merupakan orang yang pertama memperkenalkan kebijaksanaan terkumpul ke atas berabad-abad peperangan dan muslihat, menterjemahkannya kepada kemampuan manusia, dan menyatakan teori yang teratur.

Apabila para pelarian berkumpul di dalam kawasan yang kecil, tidak lama selepas Wu Tzu-hsu tiba di negeri tersebut dan menjadi perdana menteri, beliau berkenalan dengan Sun dan bapanya.

Sun berharap untuk mendapat pekerjaan yang membolehkan beliau menyertai tentera. Beliau menunjukkan Seni Peperangan kepada Wu Tzu-Hsu pada tahun 512 S.M. Perdana Menteri itu memperkenalkannya kepada Raja Ho-Lu. Raja sangat tertarik dan menitahkan Sun hadir ke istana untuk mengadap.

'Beta telah pun membaca buku karangan kamu itu,’ titah Raja. ‘Bolehkah kamu memberikan demonstrasi tentang latihan sebenar ketenteraan?’

'Ya,' jawab Sun.

'Bolehkah wanita mencukupi?'

'Terpulanglah kepada Tuanku.'

Raja telah menghantar 180 orang dayang ke dalam lapangan istana, di mana Sun membahagikan mereka kepada dua kumpulan. Beliau pun melantik dua orang gundik kesayangan Raja sebagai pegawai. Sementara Raja memerhati dari tempat tinggi di istana, setiap wanita telah diberikan satu senjata dan mengajar cara memegangnya.

Sun kemudian bertanya, ‘Adakah kamu tahu depan kamu belakang kamu, dan tangan kiri kamu dengan tangan kanan?’

Semua wanita tersebut menjawab ya.

‘Apabila saya perintah bunyi gendang untuk ke hadapan, bergeraklah ke depan. Pada perintah, “kiri”, pusing ke arah tangan kiri, pada “kanan” pusing ke tangan kanan, dan bila saya kata “berundur”, pusing ke belakang.

Semua wanita tersebut bersetuju.

Setelah menyatakan perintah itu dengan jelas, Sun memohon untuk dibawa tukang pancung istana dan menyuruhnya bersiap sedia dengan pedang. Beliau kemudiannya mengulangi segala arahan beberapa kali, menerangkannya setiap kali dengan sabar. Selepas itu beliau mengarahkan pemain gendang dengan bunyi perintah ‘Muka depan’. Wanita-wanita tersebut pun ketawa besar.

Sun berkata, ‘Jika peraturan-peraturan tidak boleh difahami dan arahan tidak jelas, komander boleh dipersalahkan.’ Dua kali lagi beliau mengulangi segala peraturannya, dan memberikan perintah untuk pusing kiri. Lagi sekali wanita-wanita tersebut ketawa.

Sun berkata, ‘Jika perintah sudah jelas dan tidak dilaksanakan, para pegawai mesti dipersalahkan.’ Beliau mengarahkan tukang pancung istana memotong kepala kedua-dua orang komander.

Raja terkejut melihat dua orang gundik kesayangannya yang cantik itu diarah melutut di depan tukang pancung istana, dan cepat-cepat baginda menghantar pegawai pembantunya menemui Sun dengan pesanan: ‘Beta sudah mengetahui bahawa kamu adalah jeneral yang bijak, tetapi tanpa kedua orang gundik itu membuatkan makanan beta hilang rasa. Tolonglah lepaskan mereka.’

Sun pun menghantar semula pesanan, ‘Saya telah dilantik sebagai komander, dan seorang jeneral di lapangan tidak terikat dengan perintah rajanya.’ Beliau mengarahkan kepala kedua gundik itu dipancung, dan memilih dua orang gundik sebagai pegawai kumpulan. Kali ini, apabila beliau memberi perintah perbarisan, wanita-wanita tersebut pun pusing kiri atau kanan, ke depan atau ke belakang tanpa bersuara, dan melutut atau berdiri seperti yang diperintahkan.

Apabila beliau berpuas hati, Sun menghantar pesanan kepada raja, menyatakan, ‘Pasukan sudah bersedia untuk diperiksa. Tuanku boleh mengharapkan mereka pergi meredah api atau air.’

‘Kamu bolehlah pulang ke kuater dan rehat,’ titah raja. ‘Beta tiada selera untuk melakukan pemeriksaan perbarisan mereka.’

Sun berkata, ‘Raja hanya berminat kepada teori sahaja, bukan perkara sebenarnya.’

Setelah berpuas hati dan yakin dengan kesungguhan dan kepakaran Sun, Raja Ho-Lu pun melantiknya sebagai ketua strategik dan ketua turus angkatan tentera Wu.

Sehingga baru-baru ini, kisah terkenal, diceritakan oleh ahli sejarah Ssu-Ma Ch’ien dalam abad pertama S.M., merupakan perkara-perkara yang kita tahu mengenai Sun Tzu, selain daripada fragmen yang masih kekal berkenaan dengan karyanya.

Adalah tidak dapat dipastikan samada tiga belas bab tersebut itu tulen atau asli, siapakah penulisnya yang sebenar, atau bilakah beliau hidup dengan sebenarnya. Tiada siapa yang benar-benar pasti samada seseorang yang bernama Sun Tzu benar-benar wujud. Dokumen-dokumen sejarah China, termasuklah karangan Ssu-Ma Ch’ien, adalah kisah benar dan tidak tepat.

Dalam tahun 1950an, seorang ahli sejarah China menyatakan bahawa penulis sebenar Seni Peperangan adalah Sun Pin, seorang ahli strategik yang hidup lebih kurang satu kurun kemudian; sebagai amalan tanggungjawab ketaatan, atau sebagai satu tipu helah untuk menewaskan musuhnya yang beliau mungkin mahu merujuk karangan itu kepada salah seorang keturunannya.

Tanpa bukti yang konkrit, para cendekiawan menyetujui penerangan Sun Pin ini, dan identiti Sun Tzu dan Sun Pin menjadi bercampur aduk.

Kemudian, ahli-ahli arkeologi China yang membuka kuburan berusia dua ribu tahun di Shantung telah menemui satu sorokan yang baik berkenaan dengan teks-teks militari purba, termasuklah karya Sun Tzu, Seni Peperangan yang hilang, dan sebuah karya yang berlainan oleh Sun Pin.

Penemuan-penemuan ini membuktikan bahawa Sun Tzu dan Sun Pin adalah keperibadian yang sebenar dan setiap orang telah menulis Seni Peperangan. Kita bolehlah lebih yakin bagi membuat kesimpulan pasti ke atas perincian biografi berkenaan Sun Tzu.


Selepas dilantik sebagai ketua strategik dan ketua turus angkatan tentera oleh Raja Ho-lu, Sun bekerja bersama-sama dengan perdana menteri Wu Tzu-Hsu dan seorang lagi anggota kabinet raja bernama Po Pi, seorang pembelit yang mana bapanya telah mati dibunuh oleh Raja Chu. Kita hanya mengetahui secara ringkas sahaja tentang kempen ketenteraannya.

Untuk mengelak dari kemusnahan disebabkan peperangan yang besar, Sun Tzu menubuhkan suatu jaringan pengintip dan pemberi maklumat, dan menghantar agen-agen rahsia berbagai jenis ke negeri-negeri musuh yang berdekatan dengan Wu.

Apabila tiada pilihan untuk berperang, beliau mengepalai tenteranya untuk menyerang Chu, menawan sebuah daerahnya, dan menangkap dua orang bangsawan pembelot yang suka membuat kacau. Bergembira dengan kejayaan ini, Raja Ho-Lu mahu ianya diteruskan. Tetapi Sun Tzu memberitahu baginda, ‘Orang-orang kita sudah penat. Masanya pun tidak sesuai. Biarlah kita tunggu.’

Pada tahun berikutnya, 510 S.M., Sun dan tentera Wu lagi sekali menyerang Chu, kali ini menawan dua buah daerah. Pada tahun berikutnya, mereka mara ke arah lain, menyerang dan mengalahkan bahagian selatan negeri Yueh.

Setahun kemudian, sepasukan tentera Chu yang diketuai oleh Lord Nang telah menyerang balas, tetapi ia dapat ditewaskan oleh tentera Wu yang dipimpin oleh teman baik Sun, perdana menteri Wu Tzu-Hsu. Beberapa kejayaan yang diraih meningkatkan reputasi Raja Ho-Lu sebagai seorang pemimpin agung yang suka bertindak, dan ianya menyedihkan jiran-jirannya.

Menikmati kemasyhuran, Raja Ho-Lu menunggu penuh sabar untuk mengajar Raja Chu buat kali terakhir. Apabila tiga tahun sudah berlalu, baginda mengingatkan Sun Tzu: ‘Sebelum ini, kamu memberitahu beta bahawa masanya belum tiba untuk menyerang ibu negeri Chu. Bagaimanakah sekarang?’

Bersambung ... Strategi Air-dalam-Tasik

Rabu, 11 Februari 2009

BAB 2: Satay Anjing

Sun Tzu, Perancang Strategi Perang

WU TZU-HSU merupakan seorang insan yang mulia. Tetapi akhirnya beliau tidak dapat menyelamatkan dirinya daripada disumbat ke dalam beg kulit. Beliau memperkenalkan dunia kepada Sun Tzu, ahli strategik ternama yang menjadi model atau contoh kepada setiap Orang China Seberang Laut yang mempunyai cita-cita tinggi.

Kedua-duanya hidup dalam zaman huru hara musim Luruh & Bunga, apabila banyak tenaga dan sumber yang digunakan dalam perebutan kuasa di antara negeri-negeri beraja di China. Pada awalnya apabila bapa dan adik beliau dihukum pancung oleh Raja Chu, Wu Tzu-Hsu yang masih remaja melarikan diri dari satu negeri ke satu negeri, dikejar oleh pembunuh bapanya, ada masanya meminta sedekah makanan.

Pada tahun 519 S.M., beliau tiba di negeri Wu yang terletak di lembah Sungai Yangtze. Ibu negerinya, Wu Hsieh (Suchow), merupakan pusat ternakan ulat sutera; kelompok rumah kediaman sekeliling bukit di mana istana berbentuk pagoda menghala ke sungai, kolam-kolam dan tasik-tasik berhutan di semua arah, ia merupakan sebuah negeri yang indah. Dialek Wu yang ditutur pada hari ini di wilayah Shanghai mendapat namanya daripada negeri purba ini.

Apabila tiba di negeri Wu, Wu Tzu-Hsu pergi terus bertemu raja dan memohon bantuan untuk membiayai kempen membalas dendam terhadap Chu yang membunuh bapa dan adiknya. Raja enggan, tetapi adik tirinya, Putera Kuang telah melantik pelarian tersebut memegang jawatan sebagai penasihat peribadi. Putera memerlukan nasihat khas kerana beliau bercadang melakukan komplot untuk membunuh abangnya dan merampas takhta.

Selepas memikirkan komplot tersebut, Wu Tzu-Hsu mencadangkan agar disediakan makanan lazat yang sesuai untuk raja, dalam kes ini ikan segar (bream) yang direbus dengan wain putih, halia dan serai, dan disumbat dengan pisau badik yang dapat melukakan perut raja. Ia mengambil masa lima tahun untuk menyediakan jamuan diraja dengan sempurna dan untuk mencari orang tidak siuman untuk menghidangkan makanan tersebut. Tepat mengikut waktunya, untuk mengelakkan diri daripada dicam dengan konspirasi tersebut, Wu Tzu-Hsu meletak jawatan untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian.

Dalam tahun 514 S.M., raja pun meninggal dunia kerana sakit tenat akibat memakan jamuan ikan bream, dan selepas upacara pengkebumian yang penuh istiadat, Putera Kuang pun menabalkan dirinya sebagai Raja Ho-Lu. Cita-citanya telah tercapai, beliau memanggil Wu Tzu-hsu dan melantiknya sebagai perdana menteri.

Ia merupakan perkongsian pintar yang berjaya, kerana Raja Ho-Lu adalah seorang yang dinamik dan bijak yang dapat menilai nasihat berani dan mengambil tindakan dengan bersungguh-sungguh. Salah satu daripada cadangan Wu Tzu-Hsu ialah menasihatkan raja supaya membaca peraturan baru tentang perang dan pengintipan yang ditulis khas oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Sun Tzu.

Satu sebab yang kita mengetahui sedikit tentang Sun Tzu kerana orang-orang China sering menukar nama mereka. Mereka lakukan perkara ini kerana banyak sebab, di antaranya ialah kemahuan untuk meningkatkan diri dan imej, dalam waktu yang sama mengelakkan diri daripada nasib kurang baik.

Keluarga Sun Tzu dikatakan pernah menjadi duke di Ch’en. Selepas berlaku rampasan kuasa, anak lelaki Duke Ch’en pun melarikan diri, bersama-sama lain-lain anggota keluarganya. Apabila mereka sampai di negeri Ch’i yang terletak di Semenanjung Shangtung, mereka merasakan elok menukar nama. Namun begitu, untuk pengenalan orang ramai yang mereka adalah berketurunan bangsawan, mereka memakai nama T’ien (langit) yang dibunyikan sebagai Ch’en tetapi ditulis lain sebutannya.

Keluarga ini pun bertambah masyhur. Akhirnya, salah satu puak daripada keluarga ini telah merampas kuasa dan memerintah Ch’i selama bertahun-tahun. Selepas lima generasi, puak yang kita kisahkan itu menjadi komander tentera. Sekitar tahun 547 S.M., Jeneral T’ien Shu membuatkan dirinya masyhur di Ch’i dengan kejayaan menawan negeri kecil Lu, tempat lahir Confucius. Beliau telah dianugerahkan dengan gelaran Sun di pangkal namanya dan diberikan kuasa untuk mengutip cukai dan memerintah daerah Tung-An.

Secara ringkasnya, Jeneral T’ien Shu sudah menjadi Sun Shu, Penguasa Tung-An, dan menetap di istana untuk berumahtangga. Sekitar tahun 535 S.M., seorang anak lelaki telah lahir dan dinamakan Sun Ch’ang-Ch’ing. Beliau kemudiannya terkenal sebagai Sun Tzu, Tuan Sun.

Nasib baiknya tidak bertahan lama kerana pemerintah Ch’i adalah seorang yang tidak tetap pendirian. Selepas beberapa tahun menjadi pemerintah Tung-an, Jeneral Sun terpaksa menyelamatkan diri, melepaskan diri dan keluarganya dengan menaiki kereta kuda menghala selatan ke negeri Wu yang terletak dekat muara Sungai Yangtze. Menyeberangi sungai besar itu, mereka menetap di sebuah rumah kampung lebih kurang sepuluh li (lebih kurang tiga batu setengah) sebelah barat ibu negeri Wu.

Anak lelaki Jeneral Sun membesar di rumah ladang di situ, di antara saliran yang dipenuhi dengan itik dan angsa. Beliau diharapkan untuk mengikuti jejak bapanya dalam tentera, dan dididik dengan teliti dalam bidang pengurusan negeri, taktik ketenteraan, strategi, konspirasi dan mengatur pergerakan pengintip. Selepas mendalami konsep ini, beliau menulis jurnal yang dimuatkan peraturan-peraturan yang dipanggil Ping Fa atau Seni Peperangan yang mengandungi sulingan terbaik mengenai berabad-abad peperangan dan muslihat atau komplot yang diturunkan kepada beliau oleh bapanya.

Beliau menulis peraturan-peraturan ini dalam bentuk bidalan tradisional dengan menggunakan berus bulu tupai dan dakwat di atas keping nipis buluh yang tulisannya bermula dari atas ke bawah. Keping-keping buluh itu pun dicantumkan dan diikat pula dengan tali sutera untuk dijadikan sebuah buku, satu seni rahsia kraf untuk kegunaan dalam masa pengajiannya dan kemudian dalam kerjaya profesional beliau.

Bersambung ... Sun Tzu Dilantik Jeneral

Selasa, 3 Februari 2009

SAMB. BAB 1: Muka Tebal, Busuk Hati ... Pentadbir-Cendekiawan Tamak


Satu kisah berkenaan dengan sejarah perebutan kuasa ini adalah beberapa orang bangsawan untuk kali pertamanya menggaji orang-orang biasa yang paling berbakat mentadbir wilayah-wilayah mereka. Ia merupakan kelas terbaru pentadbir-cendekiawan yang dipanggil shih.

Pada asalnya, para cendekiawan adalah pendita atau pengajar; mereka adalah pakar terhadap moral, nujum, upacara korban, dan etika, sama seperti peguam sekarang. Sesetengah shih adalah anak-anak bangsawan rendah, tetapi jumlah majoritinya adalah orang-orang biasa yang cerdik yang dilantik oleh sebab mempunyai kepakaran dan kekuatan.

Dalam masa huru hara musim luruh & bunga dan Negeri-negeri Dalam Peperangan, mereka menjadi pentadbir elit di Negeri China. Mereka sahajalah yang tahu menyelesaikan masalah. Raja-raja dan para duke mempunyai kuasa dan keagungan, tetapi shih memiliki kepakaran dan otak.

Lama kelamaan, banyak pula wilayah yang ditadbir oleh pakar-pakar daripada keturunan yang tidak ternama. Untuk menggelar mereka sebagai kakitangan kerajaan adalah keliru sebab mereka ini bukan ahli perkhidmatan awam. Golongan ini masih lagi mentadbir Negeri China sehinggalah sekarang, sebagai kader dan birokrat. Mereka boleh menjadi musuh yang merbahaya.

Di Negeri China purba, orang-orang yang bercita-cita tinggi dan tiada mempunyai peri kemanusiaan mengembara dari satu negeri ke negeri lain untuk jawatan rasmi sebagai penasihat atau ahli strategik. Kebanyakannya pandai berpidato yang memikat raja-raja dengan konspirasi mereka. Apabila rancangan mereka berjaya, mereka pun diterima bekerja. Apabila gagal, mereka pun marah dan bermuka masam. Ganjaran bagi jawatan adalah lumayan dan segala risiko yang dihadapi memang berbaloi.

Di Negeri-negeri Dalam Peperangan, tiada terdapat sifat kecintaan kepada negara, tiada sifat-sifat kebaikan, tiada kepahlawanan, dan taat setia sahaja. Orang-orang begitu berkhidmat sekaligus untuk dua atau tiga orang majikan yang berseteru, dan hilang pada waktu malam. Adalah sukar untuk membezakan di antara ahli-ahli birokrat sebenar dengan orang-orang yang bangsat. Mereka dilihat sama di segi luaran dan kelakuan, dan sama-sama sombong, angkuh, kejam, dan sifat merendah diri.

Kerap berlaku ahli-ahli birokrat ini memberontak terhadap majikan mereka dan mengambil alih kuasa. Sesetengahnya merampas negeri-negeri sebesar saiz Peranchis, memerintah bala tentera yang besar dalam peperangan.

Juga di dalam kelompok orang awam yang terpelajar terdapat ahli-ahli perniagaan dan usahawan berbakat yang berani melarikan barangan dari gudang kerajaan; untung besar ini membuatkan mereka menjadi kaya raya dan berkuasa, mampu mengendalikan kuasa politik secara di belakang tabir. Mereka melabur secara rahsia ke atas perniagaan bermodal, menyewa kapal, tongkang, karavan atau keretapi.

Dengan cara ini, mereka menjadi broker terhadap barangan mewah dari luar negara, termasuklah permata dan mutiara, barangan ukiran daripada gading gajah, kayu keras, barangan aromatik dan ubat penggalak nafsu berahi.

Kadang-kadang orang begini dilantik sebagai ahli birokrat yang berkuasa atau majistret. Mereka mempunyai persamaan dengan para pedagang, tetapi mereka melakukannya secara tertutup dengan berpura-pura sebagai tugas rasmi. Oleh sebab itu, mereka sering mencampuri urusan para pedagang saingan, dan turut melakukan peras ugut secara keseluruhannya.

Dibebani dengan karenah raja-raja zalim dan para birokrat curang, itulah sebabnya orang-orang China meratapi pemergiaan zaman keemasan mereka. Di bawah raja-raja Dinasti Chou dahulu, kepala anda sentiasa dalam bahaya tetapi dompet anda sentiasa berada di tempatnya.

Tiada siapa yang mempermainkan keluarga anda, semua orang membayar bil mereka, dan rasuah tidak berlaku. Terdapat nostalgia untuk kembali ke rejim authoritarian – kezaliman cara lama – jikalau dibandingkan dengan cara sekarang yang dipenuhi dengan putus harapan oleh sebab rasuah berleluasa.

Pada masa dahulu, walaupun kerajaan kejam dan tidak bertolak ansur, pedagang semuanya berterus terang, dan memadai dengan keuntungan kecil. Semua itu sudah berubah. Raja-raja dan para birokrat sanggup melakukan apa sahaja demi wang dan memarahi para pedagang biasa sebagai tidak adil.

Mungkin perkara ini tidak boleh dielakkan. Para pedagang meraih keuntungan besar untuk menjadi kaya dan berkuasa, sedangkan para pegawai meraih kuasa untuk menjadi kaya. Di antara kedua golongan itu, para pegawai mempunyai kelebihan kerana mereka membuat undang-undang dan mengawal polis dan tentera.

Ia menjadi doktrin rasmi di Negeri China bahawa para pedagang dan pekedai hendaklah dihina, ditekan dan diperas ugut. Tidaklah hairan bila para pedagang dan kelas peniaga bertindak balas dengan menyatakan bahawa semua politik adalah politik wang.

Mereka pun melakukan apa sahaja demi wang. Amalan dan pemberian rasuah semakin menjadi-jadi untuk menghalalkan cara, dan menjadi darah daging mereka. Sesetengah pedagang, atas sebab-sebab tersendiri, masih lagi berhati suci walaupun di sekeliling mereka dipenuhi dengan orang-orang yang tamak.

Apabila mereka bercakap mengenai zaman keemasan yang sudah berlalu, mereka tidaklah meratapi pemergiannya tetapi mengakui erti kehidupan sebenar yang patut dibalas oleh sebab perbuatan jahat.

Kerajaan pun bertindak balas secara ganas. Sesiapa yang memberi rasuah (dan yang enggan memberi rasuah) ditangkap dan diusir keluar ke wilayah barbarian di selatan, bersama-sama dengan semua saudara mara masing-masing.

Sebuah negeri baru China pun lahirlah di selatan Sungai Yangtze, di tempat yang bernama Yueh. Dan dari situ, para pelarian yang cerdik menjelajah pula ke negara luar, untuk menjadi Orang China Seberang Laut.

Dalam perjalanan kita ke Yueh di selatan bersama-sama mereka, ia terpaksalah berhenti di sana sini, untuk mengambil beberapa orang yang tersesat, untuk mendengar kisah-kisah pelik mereka, dan untuk mendapat beberapa nasihat daripada ahli strategik shih yang turut sama melarikan diri.

- Akhir Bab 1 -

Ahad, 1 Februari 2009

SAMB. BAB 1: Muka Tebal, Busuk Hati ... Kejatuhan Dinasti Chou


Sambungan Dari Bab 1: Dinasti Chou

Untuk beberapa abad, tiada sesiapa pun yang berani mencabar kedudukan raja-raja Dinasti Chou. Zaman keemasan China bertambah merosot akibat komplot dan masalah moral. Kezaliman dapat dibeli dengan rasuah. Ini tidak bermakna kezaliman sudah tamat. Ianya diamalkan untuk meningkatkan rasuah.

Zaman keemasan China sudah berakhir (jika, sebenarnya, ianya pernah wujud), tetapi tiada siapa yang menyedarinya, sebab salah satu daripada ciri-ciri penyelewengan ialah sifat berpura-pura baik.

Untuk menyatakan bagaimana kebodohan itu berlaku ialah dengan mengambil satu contoh peperangan di antara dua kumpulan tentera berseteru yang terjadi di tebing sebuah sungai. Di satu pihak, Duke Chou sekarang (tidaklah secekap pemerintah yang terdahulu) menunggang kereta kuda berhias dan ternampak musuhnya sedang sibuk mengharungi sungai. ‘Tuanku,’ kata salah seorang pegawainya, ‘kita mesti menyerang dahulu semasa musuh belum bersedia. Kita mampu meraih kemenangan besar.’

‘Itu melampaui batas,’ dengus Duke Chou. ‘Peraturan pahlawan menetapkan dengan jelas bahawa kita mestilah memberikan musuh kita peluang untuk bersiap sedia dahulu sebelum kita menyerang.’ Apabila tentera musuh selamat menyeberangi sungai dan berkumpul untuk menyerang, Duke Chou bersama tenteranya berjaya ditewaskan.

Jikalau raja-raja Dinasti Chou yang asal betul-betul boleh mendapat pengaruh dari langit, sudah tentulah ramai daripada keturunannya dihukum bunuh serta merta. Itulah sebabnya generasi kemudian mereka bertindak mengikut kemahuan sendiri.

Selepas kurun lapan Sebelum Masihi, zaman keemasan China bersinar kembali. ‘Semua di bawah langit adalah dalam huru hara.’

Butiran sejarah sepintas lalu sangat terkenal: serangan orang-orang nomad telah menyebabkan raja-raja Dinasti Chou sangat takut dan memindahkan ibu negeri ke Loyang yang menunjukkan kepada semua bahawa mereka tidak lagi mempunyai kuasa. Wakil-wakil raja yang tamak mula mengaut segala kekayaan dan kuasa ke dalam tangan mereka sendiri.

Dalam musim luruh dan bunga berikutnya (722 – 481 S.M.), amalan murni dan kepahlawanan digantikan dengan konspirasi dan kejahatan. Para pegawai dan ahli-ahli aristokrat rendah membuang segala sifat murni kepura-puraan dan terus melakukan perbuatan ganas untuk ketamakan kuasa dan wilayah.

Sifat kebaikan lagi murni dibuang. Perbuatan rasuah dan konspirasi menjadi sangat berleluasa. Bermula dari istana, setiap orang mahu mengelak masalah dengan memberi rasuah dengan pemberian yang berharga. Apabila rasuah bermula, ianya tidaklah dapat diberhentikan, untuk ‘pemberi rasuah semakin parah, tetapi penerima tidak pernah pula berpuas hati.’

Rasuah menjadi amalan di Negeri China. Untuk menjamin kesinambungan kehidupan, orang-orang kaya kadang-kadang menaburkan wang kepada orang miskin yang menunjukkan betapa teruknya keadaan yang sedang berlaku.

Ia adalah masa huru hara di bidang ekonomi dan sosial. Tiada siapa pun boleh selamat daripada saudara maranya. Bagi kebanyakan golongan bangsawan China, ia merupakan penurunan darjat sahaja. Raja-raja adalah anak-anak mereka, ataupun yang diiktiraf oleh mereka. Apabila pertumpahan darah berlaku, mereka telah menumpaskan sesama sendiri dengan pembunuhan beramai-ramai.

Seperti lintah kekenyangan, terdapat beberapa puak yang kebal dan berjaya menghuni di tujuh buah negeri besar dan di beberapa wilayah yang kecil. Mereka menggaji jeneral-jeneral dan para pegawai strategik yang hebat untuk mengumpulkan bala tentera dan melakukan serangan – era berdarah yang dikenali sebagai Negeri-negeri Dalam Peperangan.

Semasa Negeri-negeri Dalam Peperangan, kumpulan-kumpulan pemerintah adalah terdiri daripada raja tempatan yang zalim atau duke dan canselornya, termasuk seorang setiausaha agung yang menguruskan pentadbiran harian. Selepas mereka adalah ketua pendita untuk upacara keagamaan, seorang jeneral (Penjaga Harimau) dan seorang penyelia anjing-anjing.

Keperluan utama untuk mengisi segala jawatan ialah licik. Hanya sifat berpura-pura baik dikekalkan untuk kepentingan etika. Di belakang setiap muka tebal dapat mengalahkan busuk hati. Dengan risiko yang tinggi itu, setiap langkah yang silap akan menerima padah.

Di dalam suasana huru hara itu, hanya dua perkara boleh diambil kira: peperangan dan makanan.

Peperangan sering berlaku, oleh sebab itu tipu helah pengintip, diplomat dan tentera diserahkan kepada ketua pengintip profesional dan pakar strategik. Apabila negeri-negeri seteru semakin zalim, ilmu hitam sangatlah dihargai. Kerajaan menjalankan pemerintahan dengan cara komplot, rasuah, curang dan penipuan. Kereta kuda perang tidak bermakna dalam masa tikam belakang.

Apabila pengkhianatan gagal dilakukan, huru hara besar dilakukan oleh tentera yang berjumlah setengah juta orang yang dilengkapi dengan panah. Walaupun jumlah ini hebat tetapi ia menimbulkan keraguan. Apa gunanya ramai tentera sedangkan para jeneral boleh dibeli dan dijual, dan mudah bertukar pihak?

Bersambung ... Pentadbir-Cendikiawan tamak