Jumaat, 30 Januari 2009

BAB 1: Muka Tebal, Busuk Hati

Jeneral Tsao Tsao (Cao Cao) yang digelar Maharaja Wei setelah mangkat

Dalam salah satu babak paling masyhur daripada kesusasteraan China, si licik Ts’ao Ts’ao sedang mengepung sebuah bandar bila pegawai perbekalannya memberitahu bahawa mereka kekurangan makanan, dan bertanya apa yang perlu dilakukan. Ts’ao Ts’ao memerintahkan pegawai itu memberi bala tentera makanan catuan.

‘Mereka tidak menyukainya,’ ujar pegawai perbekalan.

‘Saya akan uruskannya,’ balas Ts’ao Ts’ao.

Apabila para tentera merungut, Ts’ao Ts’ao memanggil pegawai perbekalan. ‘Saya mahu meminjam sesuatu daripada kamu untuk mendiamkan tentera. Kepala kamu. Aku harap kamu tidak membantah. Aku sudah pun menyediakan keperluan keluarga kamu.’

Para penghukum bunuh menarik keluar pegawai perbekalan yang terkejut itu dan terus memancung kepalanya. Kepalanya dicucuk pada galah untuk dipamerkan kepada bala tentera dengan perkataan yang tertera:

‘Pegawai Perbekalan Wang Hou – dihukum kerana mencuri daripada setor bekalan dan memberi tentera makanan catuan.’
Perbuatan terkutuk itu merupakan peraturan yang tidak terkecuali di Negeri China, sekurang-kurangnya pada pandangan mangsa, terutamanya para pedagang, pekedai, ahli bank dan usahawan. Kekayaan dan stok komoditi berharga yang diperolehi melalui titik peluh mereka boleh dirampas oleh para menteri kerajaan yang curang, ahli birokrat dan jeneral yang tidak bertanggungjawab.

Para pemerintah China sering menghina para peniaga. Mereka boleh diperguna dan dibuang, seperti pegawai perbekalan Ts’ao Ts’ao. Para saudagar sering ditangkap dan dibuang dari Utara China ke wilayah orang biadab Yueh di selatan Sungai Yangtze. Itu merupakan cara mudah untuk melupuskan segala hutang piutang para pemerintah dan pegawai-pegawai kerajaan yang terkumpul, dan menepis segala kesilapan yang dilakukan semasa menangani hal ehwal ekonomi.

Dengan cara ini, ia merupakan kezaliman yang menyebabkan tertubuhnya kawasan-kawasan terkepung bagi para pedagang di sepanjang pantai China Selatan, di mana mereka memulakan penjelajahan ke seberang laut, dan membangunkan rangkaian-rangkaian perdagangan maritim yang berkembang menjadi tapak kuasa Orang China Seberang Laut sehingga ke hari ini.

Kisah penuh Orang China Seberang Laut bermula dengan persengketaan di masa dahulu di antara duit dan kuasa, dan penganiayaan para pemerintah yang mendakwa memiliki sifat-sifat ketuhanan bagi melindungi perbuatan rasuah mereka yang sangat hebat.

Namun ianya tidaklah selalu berlaku perkara sedemikian. Pada suatu masa dahulu, terdapat era keemasan apabila para pemerintah China terdiri daripada orang-orang yang bijaksana, dan semuanya di dalam keadaan aman damai. Ataupun begitu seperti yang kita ketahui. Hanya apabila suasana aman damai ini lebur, keadaan pun berubah yang diwarnai dengan pengkhianatan dan kezaliman.

Tetapi kebanyakan perkara di Negeri China tidaklah seperti yang disangka. Ia membantu untuk melihat perkara-perkara baik di masa dahulu, untuk mengetahui samada ia betul-betul baik, dan apakah harga untuk dibayar terhadap kebaikan tersebut.


Negeri China purba lazimnya digambarkan sebagai kawasan yang berhutan dan berpaya yang dipenuhi dengan para penyamun, wira perang dan ahli-ahli silap mata. Sebenarnya, bahagian utara tiada mempunyai hutan kerana kayu kayan tidak boleh tumbuh di kawasan tanah loess. Paya besar hanya terdapat dekat pantai, di sekitar Sungai Kuning. Terdapat sedikit sahaja hutan di barat laut, iaitu di pergunungan yang menjadikannya sebagai kubu semulajadi bagi wilayah-wilayah Shansi dan Shensi.


Asal usul orang-orang yang kita panggil China Han adalah di dataran tinggi ini yang mengandungi tanah loess sepanjang Sungai Kuning. Loess merupakan habuk halus yang diterbangkan angin dari padang rumput selama bertahun-tahun. Hakisan menjadikannya gaung (kanyon) yang dalam, dipenuhi dengan gua-gua di mana manusia berlindung di dalamnya semenjak zaman ais terakhir.

Mengikut sejarah tradisi, tamadun bermula di sini apabila Yu yang Agung, pendiri dinasti Hsia, mencipta pertanian, saliran dan tulisan. Zaman keemasan Tiga Dinasti (Hsia, Shang dan Chou) dianggap mitos sehingga tahun-tahun 1930an, apabila tulang manusia, kulit kura-kura dan tulisan di bekas peralatan gangsa telah ditemui sebagai bukti kewujudan Dinasti Shang (1523 – 1028 S.M.) dan Dinasti Chou.

Ketua Tuhan Dinasti Shang, iaitu Ti, melambangkan individu Zaman Batu Baharu (neolitik) yang menemui cara-cara untuk menjinakkan millet merah sebagai tanaman yang membolehkan tamadun manusia bertapak di sepanjang tebing sungai. Tuhan Ti menjadi sinonim dengan T’ien (langit) yang dihuni oleh keturunan mulia para pembesar yang memerintah kampung-kampung purba yang berbenteng sebagai para wakil raja-raja Dinasti Shang.


Selama lima kurun, raja-raja Dinasti Shang menguasai kawasan luas di utara China dengan melantik saudara mara sendiri untuk mentadbir gugusan kampung-kampung di luar kawalan mereka. Saudara mara ini patuh dan taat setia kepada raja tetapi mereka berdaulat di gugusan sendiri. Mereka melindungi para petani agar dapat membekalkan makanan kepada semua penduduk.

Kebanyakan penduduk bertumpu kepada pertanian untuk memenuhi keperluan sendiri dan lebihannya menjadi milik raja. Pertanian menjadi tumpuan kehidupan dan ritual keagamaan. Lebihan bijirin yang sangat berharga itu disimpan di dalam kubu, untuk diagihkan dalam musim sejuk atau masa-masa darurat, dan rekod terperinci disimpan untuk mempastikan bahawa tiada siapa yang menipu atau mencurinya untuk kekayaan sendiri tanpa memikirkan kepentingan komuniti.

Ahli-ahli keluarga bangsawan merupakan sebahagian kecil orang yang pandai menulis dan membaca. Oleh sebab itu dinyatakan bahawa di Negeri China purba, para cendekiawan memerintah para petani. Ia hampir kepada kebenaran untuk menyatakan bahawa ahli-ahli keluarga bangsawan adalah para pejuang yang telah mendapat pelajaran menulis dan membaca daripada para cendekiawan yang berada di kalangan mereka.

Apabila ahli-ahli keluarga bangsawan ini pergi berperang, mereka menaiki kereta kuda yang melalui kawasan tanah loess sambil memegang panah dan diiringi oleh kumpulan para petani sebagai askar pejalan kaki yang membawa tombak. Semasa raja berburu, askar-askar pejalan kaki diajar mematuhi isyarat ke atas gendang, gong dan wisel.

Malangnya, pada kurun kesebelas S.M., raja-raja Dinasti Shang menjadi lembut dan memiliki sikap buruk, termasuk minum arak berlebihan dan seks berleluasa. Ia telah menyinggung perasaan orang-orang Chou yang suka berperang tetapi tidak suka minum arak yang menetap sepanjang padang pasir sempadan Dinasti Shang.

Suatu hari mereka menyerbu wilayah Dinasti Shang untuk membetulkan keadaan. Akhirnya, orang-orang Chou menawan wilayah naungan Dinasti Shang dan puak-puak berjiran, iaitu kawasan seluas cantuman Peranchis, Belgium dan Belanda. Penguasaan mereka pun berkembang ke selatan sehingga ke Lembah Sungai Yangtze.

Seperti Dinasti Shang sebelum mereka, kekuasaan raja tertumpu di ibu negeri, Xian, dan memecahkan utara China kepada negeri-negeri dan daerah-daerah yang diperintah oleh saudara mara sendiri atau wakil-wakil yang taat setia.

Sambungan ... Dinasti Chou

1 ulasan:

Nasionalis berkata...

Sudah dikemaskini dan senaraikan dalam aggregat saya. Mohon pautan reciprocal. Terimakasih.