Rabu, 11 Februari 2009

BAB 2: Satay Anjing

Sun Tzu, Perancang Strategi Perang

WU TZU-HSU merupakan seorang insan yang mulia. Tetapi akhirnya beliau tidak dapat menyelamatkan dirinya daripada disumbat ke dalam beg kulit. Beliau memperkenalkan dunia kepada Sun Tzu, ahli strategik ternama yang menjadi model atau contoh kepada setiap Orang China Seberang Laut yang mempunyai cita-cita tinggi.

Kedua-duanya hidup dalam zaman huru hara musim Luruh & Bunga, apabila banyak tenaga dan sumber yang digunakan dalam perebutan kuasa di antara negeri-negeri beraja di China. Pada awalnya apabila bapa dan adik beliau dihukum pancung oleh Raja Chu, Wu Tzu-Hsu yang masih remaja melarikan diri dari satu negeri ke satu negeri, dikejar oleh pembunuh bapanya, ada masanya meminta sedekah makanan.

Pada tahun 519 S.M., beliau tiba di negeri Wu yang terletak di lembah Sungai Yangtze. Ibu negerinya, Wu Hsieh (Suchow), merupakan pusat ternakan ulat sutera; kelompok rumah kediaman sekeliling bukit di mana istana berbentuk pagoda menghala ke sungai, kolam-kolam dan tasik-tasik berhutan di semua arah, ia merupakan sebuah negeri yang indah. Dialek Wu yang ditutur pada hari ini di wilayah Shanghai mendapat namanya daripada negeri purba ini.

Apabila tiba di negeri Wu, Wu Tzu-Hsu pergi terus bertemu raja dan memohon bantuan untuk membiayai kempen membalas dendam terhadap Chu yang membunuh bapa dan adiknya. Raja enggan, tetapi adik tirinya, Putera Kuang telah melantik pelarian tersebut memegang jawatan sebagai penasihat peribadi. Putera memerlukan nasihat khas kerana beliau bercadang melakukan komplot untuk membunuh abangnya dan merampas takhta.

Selepas memikirkan komplot tersebut, Wu Tzu-Hsu mencadangkan agar disediakan makanan lazat yang sesuai untuk raja, dalam kes ini ikan segar (bream) yang direbus dengan wain putih, halia dan serai, dan disumbat dengan pisau badik yang dapat melukakan perut raja. Ia mengambil masa lima tahun untuk menyediakan jamuan diraja dengan sempurna dan untuk mencari orang tidak siuman untuk menghidangkan makanan tersebut. Tepat mengikut waktunya, untuk mengelakkan diri daripada dicam dengan konspirasi tersebut, Wu Tzu-Hsu meletak jawatan untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian.

Dalam tahun 514 S.M., raja pun meninggal dunia kerana sakit tenat akibat memakan jamuan ikan bream, dan selepas upacara pengkebumian yang penuh istiadat, Putera Kuang pun menabalkan dirinya sebagai Raja Ho-Lu. Cita-citanya telah tercapai, beliau memanggil Wu Tzu-hsu dan melantiknya sebagai perdana menteri.

Ia merupakan perkongsian pintar yang berjaya, kerana Raja Ho-Lu adalah seorang yang dinamik dan bijak yang dapat menilai nasihat berani dan mengambil tindakan dengan bersungguh-sungguh. Salah satu daripada cadangan Wu Tzu-Hsu ialah menasihatkan raja supaya membaca peraturan baru tentang perang dan pengintipan yang ditulis khas oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Sun Tzu.

Satu sebab yang kita mengetahui sedikit tentang Sun Tzu kerana orang-orang China sering menukar nama mereka. Mereka lakukan perkara ini kerana banyak sebab, di antaranya ialah kemahuan untuk meningkatkan diri dan imej, dalam waktu yang sama mengelakkan diri daripada nasib kurang baik.

Keluarga Sun Tzu dikatakan pernah menjadi duke di Ch’en. Selepas berlaku rampasan kuasa, anak lelaki Duke Ch’en pun melarikan diri, bersama-sama lain-lain anggota keluarganya. Apabila mereka sampai di negeri Ch’i yang terletak di Semenanjung Shangtung, mereka merasakan elok menukar nama. Namun begitu, untuk pengenalan orang ramai yang mereka adalah berketurunan bangsawan, mereka memakai nama T’ien (langit) yang dibunyikan sebagai Ch’en tetapi ditulis lain sebutannya.

Keluarga ini pun bertambah masyhur. Akhirnya, salah satu puak daripada keluarga ini telah merampas kuasa dan memerintah Ch’i selama bertahun-tahun. Selepas lima generasi, puak yang kita kisahkan itu menjadi komander tentera. Sekitar tahun 547 S.M., Jeneral T’ien Shu membuatkan dirinya masyhur di Ch’i dengan kejayaan menawan negeri kecil Lu, tempat lahir Confucius. Beliau telah dianugerahkan dengan gelaran Sun di pangkal namanya dan diberikan kuasa untuk mengutip cukai dan memerintah daerah Tung-An.

Secara ringkasnya, Jeneral T’ien Shu sudah menjadi Sun Shu, Penguasa Tung-An, dan menetap di istana untuk berumahtangga. Sekitar tahun 535 S.M., seorang anak lelaki telah lahir dan dinamakan Sun Ch’ang-Ch’ing. Beliau kemudiannya terkenal sebagai Sun Tzu, Tuan Sun.

Nasib baiknya tidak bertahan lama kerana pemerintah Ch’i adalah seorang yang tidak tetap pendirian. Selepas beberapa tahun menjadi pemerintah Tung-an, Jeneral Sun terpaksa menyelamatkan diri, melepaskan diri dan keluarganya dengan menaiki kereta kuda menghala selatan ke negeri Wu yang terletak dekat muara Sungai Yangtze. Menyeberangi sungai besar itu, mereka menetap di sebuah rumah kampung lebih kurang sepuluh li (lebih kurang tiga batu setengah) sebelah barat ibu negeri Wu.

Anak lelaki Jeneral Sun membesar di rumah ladang di situ, di antara saliran yang dipenuhi dengan itik dan angsa. Beliau diharapkan untuk mengikuti jejak bapanya dalam tentera, dan dididik dengan teliti dalam bidang pengurusan negeri, taktik ketenteraan, strategi, konspirasi dan mengatur pergerakan pengintip. Selepas mendalami konsep ini, beliau menulis jurnal yang dimuatkan peraturan-peraturan yang dipanggil Ping Fa atau Seni Peperangan yang mengandungi sulingan terbaik mengenai berabad-abad peperangan dan muslihat atau komplot yang diturunkan kepada beliau oleh bapanya.

Beliau menulis peraturan-peraturan ini dalam bentuk bidalan tradisional dengan menggunakan berus bulu tupai dan dakwat di atas keping nipis buluh yang tulisannya bermula dari atas ke bawah. Keping-keping buluh itu pun dicantumkan dan diikat pula dengan tali sutera untuk dijadikan sebuah buku, satu seni rahsia kraf untuk kegunaan dalam masa pengajiannya dan kemudian dalam kerjaya profesional beliau.

Bersambung ... Sun Tzu Dilantik Jeneral

Tiada ulasan: